RENUNGAN

BAHASA JIWA BANGSA

NOTA

Contoh Karangan Bentuk Peribahasa


Peribahasa “bagai aur dengan tebing” bermaksud perkaitan orang yang suka bertolong-tolongan dan saling melengkapi.


Pada pendapat anda, bagaimanakah konsep ini dapat diterapkan dalam masyarakat kini.

      Peribahasa “bagai aur dengan tebing” bermaksud konsep tolong-menolong atau bantu-membantu amat penting dalam sesebuah masyarakat itu. Konsep ini semakin lama semakin hilang ketika negara menongkah arus perubahan dunia ini yang penuh cabaran. Lantaran itu, terdapat beberapa cara yang sesuai untuk merealisasikan konsep ini dalam kehidupan masyarakat kita.

      Langkah awal ialah satu aktiviti yang melibatkan semua pihak dalam sesebuah kawasan setempat itu harus dilaksanakan dahulu. Penglibatan semua pihak yang mendiami sesuatu kawasan itu amat penting jika konsep ini hendak dipupuk dalam jiwa mereka. Maka, aktiviti yang bersepadu yang melibatkan semua ahli masyarakat boleh mencetuskan konsep tolong-menolong ini.

      Selain itu, konsep peribahasa ini boleh juga dijalin menerusi kempen kesedaran yang dilaksanakan itu. Kempen yang melibatkan ceramah, pemberian brosur dan taklimat kepada masyarakat setempat akan peri pentingnya konsep ini mampu membuahkan hasil yang menguntungkan pula. Sebenarnya, kempen kesedaran ini boleh menggunakan media massa seperti televisyen untuk mencapai impak yang lebih luas.

      Bukan sahaja mewujudkan satu aktiviti yang melibatkan semua pihak dan mengadakan kempen tetapi pemupukan konsep ini dalam jiwa pelajar terutama di peringkat sekolah rendah amat praktikal. Kanak-kanak lebih mudah untuk menerima dan mengamalkan konsep kerjasama ini jika mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang berunsur sedemikian ketika berada di sekolah. Justeru, pemupukan konsep bekerjasama ini di peringkat sekolah bakal menyaksikan berlakunya satu perubahan dalam minda masyarakat kita pada masa depan pula.

      Malahan, usaha mengadakan karnival atau pesta di dalam kawasan perumahan turut mampu mencetuskan perasaan saling membantu ini. Keadaan ini berupaya diwujudkan kerana semua pihak saling mengenali jiran mereka dan mengamalkan konsep kerjasama ini dengan lebih baik lagi. Sesungguhnya, kekerapan bertemu dan berinteraksi antara ahli masyarakat di pesta atau karnival memungkinkan wujudnya amalan bekerjasama ini.

      Kesimpulannya, konsep peribahasa ini memang boleh diamalkan di negara ini jika semua langkah di atas dilaksanakan segera. Kerjasama semua pihak terutama masyarakat amat diperlukan jika kita mahu konsep ini diamalkan dalam masyarakat. Peribahasa “berat sama dipikul ringan sama dijinjing” merupakan satu lagi peribahasa yang hampir serupa konsepnya yang membuktikan betapa amalan bekerjasama ini diutamakan oleh masyarakat kita dahulu.


Pengarang: Noor Azman Mahat

Sumber: etuisyen.com


Contoh Karangan Berbentuk Syarahan


Oleh Teo Li Ying
3 Ixora SMKTM


Anda akan menyertai pertandingan syarahan yang diadakan pada peringkat sekolah.Tajuk syarahan yang dipilih ialah ‘Pembentukan Disiplin Anak-anak bermula dari Rumah’.

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, delegasi kehakiman terhormat, penjaga masa yang patuh akan setiap detik waktunya,seterusnya hadirin-hadirat warga dewan berdedikasi sekalian, salam sejahtera dan salam satu Malaysia.Tegaknya angsana di dalm rimba keran pautan akar yang utuh, tegaknya saya pada hari ini adalah untuk mengupas,menghuraikan dan menyajikan kepada semua mengenai rajah pembentukan disiplin anak-anak bermula dari rumah.

Hadirin-hadirat warga budiman sekalian,

Frasa rumah sememangnya lazim dalam usaha membentuk jati diri dan integriti sesuatu bangsa yang khususnya terdiri daripada anak-anak yang juga merupakan belia negara yang bakal menggerakkan nadi pentadbiran negara suatu masa kelak.Masing-masing antara kita sudah terdedah dengan senario ini dan saya pasti ramai antara kita yang acapkali mendengar bahawa ibu bapa merupakan faktor dominan dalam pembentukan keperibadian anak-anak.

Pertama,ibu bapa yang juga bertindak sebagai katalis yang terpenting perlulah menunjukkan teladan yang baik dan mulia kepada anak-anak mereka,itulah,saya menyeru penerimaan anda semua akan kata-kata   seorang pujangga kita pada marcapada ini 'anak yang baik lahirnya daripada baka yang berkualiti'. Jika ibu bapa itu sendiri berani menerapkan budaya-budaya kamil terhadap anak-anak,mungkin sekaligus mendorong jauh pelajar tersebut daripada menghampiri gejala yang melibatkan penerapan budaya kuning dan cara hidup yang terlalu bebas atau secara hedonisme tanpa mengira baik buruknya yang akhirnya dapat meruntuhkan dan mencacatkan disiplin pelajar tersebut.Tamsilnya, sekarang ini masalah melepak dalam kalangan remaja kian meniti dari bibir ke bibir setiap masyarakat di negara kita,maka apabila ibu bapa langsung tidak mengekang anak mereka daripada menghampiri gejala sakit tersebut, maka tidak menjadi sebarang masalah untuk turut serta menjerumuskan diri mereka ke dalam lembah kerugian sekaligus sedikit demi sedikit menghakis disiplin pelajar tersebut.

Perspektif saya yang kedua pula,dalam usaha menongkah era pascamerdeka dan modenisasi serta abad liberalisasi kita yang terlampau sekarang ini, keteguhan iman seseorang pelajar tersebut itu mampu goyah dan tercabar, maka apbila kekangan ini disangkut pautkan dengan peranan mendalam oleh ibu bapa dan akibat tusukan kuat daripadan masalah ini, ibu bapa perlu memperkasakan lagi nilai keimanan dalam diri anak-anak dengan cara menghantar anak-anak ke kelas agama atau kelas bertunjangkan penerapan akhlak islamiah yang holistik. Sememangnya,apabila kita terjah dari satu sudut, peranan mendalam ibu bapa sudah memadai untuk mengiring pelajar tersebut bagi meningkatkan disiplin dalam diri mereka, tetapi jika diperhatikan daripada perspektif yang lain,penerapan daripada pengaruh lain juga amat diperlukan dan dimestikan bagi mencapai keteguhan iman dalam diri yang sememangnya mantap. Analoginya iaitu satu peristiwa hitam yang sudah sebati dalam diri masyarakat dan mengaburi mata banyak pihak serta sedikit sebanyak menghakis ketamadunan melayu,tidak lain tidak bukan kes pembuangan bayi yang semakin popular dan kian menular dalam diri pelajar yang bergelar belia sekarang ini. Bedasarkan statistik yang dikeluarkan kerajaan baru-baru ini, kes salah laku ini banyak datangnya daripada kurangnya keimanan dan kurang penerapan aspek agama bagi mengenal dosa pahala melakukan perkara terkutuk tersebut sehingga melahirkan kain-kain putih yang bersih yang tidak berdosa.

Hadirin yang saya hormati sekalian,
Ibu bapa hendaklah menyuruh anak-anak mereka bersifat dengan sifat yang mulia dan murni iaitu sifat-sifat mahmudah. Mereka juga mesti melarang anak-anak dari melakukan perkara-perkara keji dan tidak elok iaitu sifat-sifat mazmumah. Oleh yang yang demikian, ibu bapa mestilah terlebih dahulu memiliki sifat-sifat mahmudah dan kemudian hendaklah diterapkan kepada anak-anak mereka. Setelah remaja, ajaran-ajaran agama Islam yang berkaitan dalam bidang syariah, aqidah dan akhlak perlu diajar secara terperinci kepada anak-anak di peringkat umur begini supaya mereka mengetahui, memahami dan dapat menghayatinya. Seterusnya perkara-perkara baik dan betul tersebut dapat diimplementasikan dalam kehidupan mereka sehari-hari. Dengan demikian mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyelewen, amal ibadat dan akhlak mereka akan terpandu dengan betul.
Natijahnya, setelah diteliti hingga ke akar umbi, dapat saya simpulkan peranan orang rumah tersebut ditambah dengan prakarsa yang lain mampu untuk menjana dan membentuk anak-anak yang berdisiplin diibaratkan anak sebagai sebatang pohon yang utuh menggenggam tanah dirimbuni dedaunan hijau dan diwarnai buah lebat, tatkala dibaling batu maka dibalas dengan buah, sekian terima kasih.


Contoh Karangan Surat Tidak Rasmi


Seorang sahabat anda telah mengutus surat kepada anda. Dia meminta anda menceritakan persediaan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang bakal di hadapi pada hujung tahun ini.

Balas surat rakan anda itu.

Contoh karangan:
Oleh Justin Fernandes. Tingkatan 3 A, SMK Tun Mutahir, Melaka.
No. 23, Lorong 3, Jalan BBP3,
Taman Batu Berendam Putra,
75350 Melaka.

27 Julai 2012

      Menemui sahabatku Jet Seng yang berada di Kuala Lumpur. Saya berharap saudara berada dalam keadaan yang sihat dan sejahtera.

Saudara,

      Terlebih dahulu saya ingin menyusun  jari sepuluh memohon maaf kepada saudara kerana dah lama tidak membalas surat saudara. Kebelakangan ini saya sedang sibuk menyiapkan folio sejarah saya.

      Jika tidak silap saya, saudara meminta saya menceritakan tentang persediaan saya menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang bakal kita hadapi penghujung tahun ini kan? Sebenarnya tidak susah untuk membuat persediaan tersebut kerana terdapat banyak cara yang boleh kita ikuti.

      Antara persediaan yang saya lakukan ialah menjaga pemakanan saya dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan seimbang yang cukup dari segi karbohidrat, protin, vitamin dan mineral perlu diambil secara seimbang supaya minda kita kekal cergas dan otak sentiasa cerdas. Kita tidak sepatutnya mengambil makanan ringan seperti kerepek kentang dan lain-lain lagi sebab makanan ini mengandungi monosodium glutamate yang boleh mengakibatkan seseorang itu mudah lupa. Hal ini boleh menggangu pelajaran kita.

      Selain itu saya juga mengatur masa saya dengan sebaik-baiknya kerana masa itu emas. Saya mengatur masa saya supay tidak membuang masa terhadap sesuatu perkara yang tidak mendatangkan manafaat. Jadual masa juga membolehkan kita mengulang kaji dengan lebih sistematik dan teratur. Dengan ini, kita boleh meningkatkan prestasi untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.

      Di samping itu, saya akan pastikan kesihatan saya sentiasa terjaga dengan baik. Untuk itu saya akan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu supaya badan saya akan sentiasa sihat dan bebas dari sebarang penyakit. Justeru itu janganlan mengabaikan kesihatan kita sehingga sakit baru hendak menyesal, bak kata pepatah 'sudah terhantuk baru terngadah'.

      Cara terakhir dan terpenting yang saya lakukan ialah mengulang kaji terlebih dahulu sebelum peperiksaan. Kita tidak patut mengulang kaji pada saat-saat terakhir kerana menurut kajian saintifik, kita tidak dapat menyerap semua benda yang kita baca jika kita mengulangkaji pada saat-saat terakhir. Bak kata pepatah, 'sediakan payung sebelum hujan'.

      Setakat ini saja yang dapat saya coretkan untuk tatapan saudara kali ini. Semoga kita dapat berjumpa lagi dalam lembaran yang akan datang.

                                                                                                                                        Sahabatmu,         

                                                                                                                                     Justin Fernandes    

0 comments:

Post a Comment